SangPelangi berpindah ke SangPelangi.com

Mei 7, 2008

Maaf kepada pelawat SangPelangi. Setelah setahun merasa terseksa dengan beberapa kemudahan terhad di dalam server percuma wordpress, saya sebagai tuan rumah kini telah berpindah ke server sendiri.

Klik link di bawah untuk teruskan pautan ke:

http://www.SangPelangi.com

Kita berjumpa di sana, ya?

Wassalam.


Baju Melayu belum tinggal kenangan.

Mei 7, 2008

Dulu, sejak kecil kami enam beradik punya baju Melayu yang sama corak serupa warna. Setiap tahun, mata Ama pasti lebam dek saking pedih mata Mama menahan kantuk, sehinggakan selalu saja kocek atas bertukar dada. Kadang-kala baju Ama pasti yang terakhir disiapkan.

Masih aku ingat lagi sewaktu aku berumur empat tahun. Ketika itu pertama kali Ama mula menjahit untuk kami anak beranak. Seluar kami adik beradik punya kelengkang besar, dengan kelim tebal pada lengan baju dan hujung seluar. Hinggakan kami terpaksa menggulung seluar di pinggang kerana hujung seluar menyapu lantai.

Aku bersyukur kerana masih punya baju raya untuk bersukaria menyambut hari mulia. Tambah tunduk lebih berterima kasih kerna masih punya ayah dan ibu, yang sanggup membanting tulang untuk menggembirakan hati-hati penghuni syurga (rumahku, syurgaku).

Jadinya, aku tak pernah malu di sekolah bila kawan-kawan mengejek aku serupa “badut” berseluar besar, terutama tatkala sambutan Hari Raya di sekolah. Biarkan mereka bangga dengan limpahan cahaya yang Dia kurnia. Mereka tidak tahu setinggi mana baldi ayah menadah peluh-peluh usaha.

Yang pasti, Aku lebih menangis menatap murung wajah anak yatim piatu di pagi raya. Dengan baju mahal hasil sumbangan “bermusim” yang mereka terima, hari bersejarah itu cuma dikongsi pada tembok-tembok sepi saja. Kalian semua yang beribu bapa, jangan lupa titipkan Fatihah untuk sejahtera mereka di kedua-dua alamnya.

Bajuku yang digelar kawan sebagai pakaian “badut”, rupanya tersimpan seribu rahsia. Kata Ama, baju Melayu itu takkan mengecil sebelum tiba waktu usia menjamah dewasa. Aku masih bisa menyarung baju Melayu pertamaku di usia dua belas. Kalau baju itu tetap mengecil, setiap dari kami akan mewarisi pula pada adik-adik.

Setiap tahun dengan baju baru. Jadi, pasti kalian pusing, apa pula nasib baju Melayu sebelum itu? Sebetulnya, ia menjadi pakaian rasmi setiap hari kami di sebelah malamnya. Mengaji Al-Quran, berjemaah di masjid, “tuisyen kampung” (projek anak desa) dan apa saja kegiatan malam dengan berbaju Melayu. Oleh itu, boleh dikatakan, keabidan kami adik beradik dengan baju Melayu memang tak dapat dipisahkan.

Bila melangkah ke dunia asrama, hubungan itu semakin akrab. Aku di sebelah malam ke kelas persediaan dengan berbaju Melayu. Hatta baju Melayu jua lah sebagai pakaian tidurku. Kemudian, masuk persediaan dua tahun di UTMKL, baju Melayuku tetap menjadi pakaian rasmi di sebelah malam. Cuma kalau baju Melayuku dibasuh, baru aku menyarung kemeja-T.

Tapi, sejak awal menjejak di Jepun, aku sedikit kekok untuk menyarungnya. Mujur ada Hari Raya, jika tidak, apalah nasib baju-baju ini nantinya. Cuma sejak tiga empat hari yang lepas, aku sudah mula berjinak-jinak semula. Mulanya agak kekok bila setiap kali mata sinis mengerling pada pakaian kesayanganku ini. Namunku gagah jua. Kata mereka, aku berkain pelekat memang tak tumpah seperti jejaka menyarung skirt. Corak kocekku ini, dikatanya poket Doraemon yang mendahului zamannya. Sedikit pun hatiku tidak terluka kerana mereka bijak menyusun kata dengan bernada jenaka.

Sejak akhir-akhir ini, aku merasa sedikit kesannya. Setiap kali seorang penjawat kuasa di asrama (ingin melaporkan pengumuman penting) tatkala masuk ke kamarku, mereka lebih bersopan lagaknya. Setiap tutur kata diselangi angguk dan budi bicara tersusun jaga. Seorang Jepun junior tahun 1, Tetsuya-san, katanya, “Irfan nampak lebih tegas dan serius bila berbaju itu. Tegas dalam mempertahankan amalan tradisi di celah-celah ramai yang bertuhankan Barat.”

Semalam, aku sudah mula nampak dua tiga orang menyarung pakaian tradisional lelaki Jepun, Yukata. Nampaknya, mereka tidak mahu kalah dengan baju Melayuku ini. Hehe.. ;p

P/S: Sesungguhnya, bukan semangat bangsa dari Baju Melayu yang inginku jaja, tapi sebuah nasihat buat anak muda supaya tak lupa akan asal-usul diri dan ingat pada siapa kita berhutang kasih sayang darinya.


My Mini City: Perang SEO bermula.

Mei 1, 2008

Baiklah. Walaupun sibuk dengan kerja-kerja makmal, aku masih sempat menyelongkar ilmu-ilmu yang tidak pernah diajarkan di dalam kelas terutamanya di luar bidang pengajianku. Tentu sekali, bidang SEO yang menjadi kegilaan aku sejak aku mengenal dunia internet (selain grafik).

SEO, atau dikenali sebagai Search Engine Optimization adalah sebuah sistem yang dicipta oleh manusia untuk menstrukturkan penyusunan laman-laman web di dalam ruang maya. Bidang SEO sangat luas lingkup ilmunya. SEO sememangnya amat penting untuk menjuarai dalam persaingan dengan beribu-ribu laman web yang sama kategorinya di dunia maya ini.

Sebagai contoh, Kamal mempunyai sebuah laman web berkaitan ‘fishing’. Di dalam senaraian Google, terdapat 156 juta buah laman web yang mempunyai tema yang serupa. Dan sudah pasti laman web Kamal terletak dalam senarai paling belakang kerana masih terlalu baru dan perlu bersaing dengan syarikat-syarikat besar lain yang sudah lama menapak dalam dunia internet ini sejak tahun bertahun. Jadi, apakah yang perlu Kamal lakukan untuk mendapatkan pengunjung yang ramai dan semestinya berkualiti?

Semalam, aku dicabar oleh rakan seperjuanganku, Faiz, untuk bertanding siapakah yang lebih ‘kacak’ dalam kemahiran SEO. Medan pertempuran kami adalah di sini, MyMiniCity (ini adalah bandar aku). (aku rahsiakan bandar milik Faiz. Haha.. )

Beginilah rupa bandar ciptaanku sejak 5 jam dirasmikan. (populasi : 51)

Laman MyMiniCity ini bagi aku, bukanlah sebuah laman sekadar untuk suka-suka. Peserta perlu menarik trafik untuk meningkatkan populasi. Bila meningkat populasi, maka bertambahlah aktiviti dalam sesebuah bandar yang kita cipta sendiri. Kemudian pendapatan dalam bandar itu akan meningkat.

Uniknya MyMiniCity, mereka cuma akan mengambil kira satu alamat IP pengunjung sebagai satu bilangan populasi untuk satu hari. Sebanyak mana pun laman itu di’refresh‘ (tekan F5) oleh seorang pengunjung yang sama, ia masih dikira sebagai 1 populasi dalam sehari. Jadi, di sinilah cabarannya.

Usaha keras adalah terletak pada teknik. Teknik menarik trafik pengunjung memerlukan latihan dan pembacaan yang sangat luas. Sudah beratus ringgit sebenarnya aku menghabiskan wang saku semata-mata untuk menguasai ilmu ini (kerana harga ebook bernilai puluhan dolar amerika).

Tip untuk blogger:

Jika anda seorang blogger, dan anda menaip “nama-blog-anda.com” di enjin carian, sudah pastinya anda berbangga kerana berada di tempat yang pertama. Tapi, maaf jika aku katakan, itu sebenarnya satu tindakan yang bodoh kurang bijak.

Menarik trafik bukanlah dari “nama laman web” semata-mata, tapi pengisian yang menjadi tulangnya. Jadi, inilah salah satu sebab mengapa aku sering menasihati rakan-rakan blogger untuk melupakan bahasa SMS dalam mempersembahkan luahan diri. Mengapa? Cuba anda fikirkan, jika anda ingin mencari maklumat tentang “pasar malam” misalnya, adakah anda menulis “psr mlm” di Google/Yahoo/MSN? Semestinya tidak, bukan? Jadi, Fikir-fikirkanlah.

Update TERKINI:

1) Mei 1, 0310 = Aku meletakkan “backlink” di lubuk rahsia sejak 5jam selepas dilancarkan. Populasi : 51, Pendapatan : 7650, Kedudukan: tangga ke 1877. (Kemudahan pengangkutan sudah dibuka).

2) Mei 2, 1202 = Aku menanam tiga video di Youtube dan Metacafe untuk menarik trafik ke dummy URL. Ternyata gagal kerana pengaktifan bilangan penonton sekurang-kurangnya memakan masa 3 hari. Populasi : 102, Pendapatan : 9302, kedudukan: tangga ke 1023 (Kadar menganggur bertambah, jadi aku menambahkan keberatan industri.) – Faiz masih tak berganjak.

3) Mei 2, 2312 = Aku mula aplikasikan pembelajaran JAVA di dalam kelas dengan menggunakan redirect ke laman-laman proxy (anonymous IP ). Gagal. Kelemahan, pengoperasian JAVA sangat lembap. Aku mula menulis dalam skrip PHP untuk auto-refresh terhadap laman aku (disembunyikan di belakang iframe) melalui beberapa proxy terpilih. – Faiz dah mula melancarkan strateginya. Dari populasi 6 meletup ke 132 dalam masa 3 jam.

4) Mei 3, 0302 = Entah kenapa, tiba-tiba aku menggunakan Alexa Rank Booster dan ping laman aku dari beratus-ratus senarai proxy (majoriti dari Seoul dan Hong Kong). Dah kemaruk trafik agaknya aku ni. Tiada perubahan drastik dikesan. Populasi aku : 125, Populasi Faiz : 211. Faiz memotong.

5) Mei 3, 0315 = Populasi aku : 184, Populasi Faiz : 304. Aku makan asap. Aku mencari kupon pengiklanan Yahoo yang berbayar, untuk trafik dari Amerika dan Canada. Sudah mula berkira-kira untuk mengaku kalah. Hahaha..


Sajak dari ibu: Pencarian yang Ketiadaan Noktah

April 23, 2008

Semalam, semasa aku menelefon ibundaku, Ama, aku diperdengarkan sebuah sajak bertema ketuhanan. Sajak ini ditulis ibunda sewaktu pulang dari mengerjakan haji 2006. Jadi, atas keizinan ibunda, aku mempersembahkan, Pencarian yang Ketiadaan Noktah untuk lauk santapan rohani kalian.

Penghayatan sajak ini, memerlukan penelitian pada teknik pembacaan. Jadi, aku cadangkan kalian mengawal intonasi demaklasi berpandukan tanda baca di setiap akhir ayat-ayat dan bait-bait.

Selamat menjamu rohanimu dengan penuh selera.

Pencarian yang Ketiadaan Noktah.

Di sini..
Siapa pun bisa sebak,
membawa segala keresahan cinta.
Dan di sinilah..
sesekali sendirian di tengah manusia, mencari
dalam segala kerendahan hati.

Di sini..
sesekali ada yang resah,
menunggu dengan gelisah.
Bagai pencari yang bimbang.
Bagai musafir yang malang.
Ruang luas tak mungkin aman dan selamat.

Berilah aku aman di perutMu yang sejuk.
Di marmar lembut hamparan permaidani,
merangkup segala duka bahagia.

Keamanan terasa.
Lari dari kelelahan.
Lari dari keresahan.
Dalam penyerahan,
sebak di dada adalah cinta padaNya.
Haru rasa adalah kasih rindu padaNya.

Di sini..
Aku kesepian.
Aku dalam pencarian.
Aku dalam kesetiaan,
di lautan manusia, siapalah aku????
MencariMu melaluiNya
Akukah itu di tengah manusia sebak dada,
kerana cinta padaNya

Di manakah kau tika itu…?

Di sini..
Aku tak bisa lama,
Sampai saat dan ketika senja menggulung jua,
lalu kubiarkan detik berputar.
Masa beredar,tapi..
ketiadaan noktah.

Ya Allah..
Aku ini hambaMu.
Rumah ini rumahMu.
Kau mudahkanlah segala urusanku.
Hanya nikmatMu jua hanya rehdhaMu jua,
tambah-tambahkanlah keredhaanMu itu padaku.
Baikkanlah kepulanganku.
Datangku bukan yang terakhir,
atau gantikanlah syurga untukku.
Amin..

Ya Rabbil Alamin.

Majlah bte Ayup
12 Januari 2007


Harga sebuah kekuatan diri.

April 21, 2008

Omae bakka,” (kau bodoh!!) herdik Funada Sensei.

“Lupakan hasrat untuk ke Universiti Toyama dan Fukui. Kau tak layak,” entah sejak bila dia menjadi seorang pelabel.

Omae bakka da yo. Shitteru kai?” (Kau memang bodohlah. Tahu tak?)

Aku diam menunduk sambil jelingan tajam menembak lantai.

“Hoi. Hoi. Kiite iru kai omae? Ha?” (kau dengar tak ni?) sambil jari-jari Funada Sensei mencucuk-cucuk bahuku. Matanya kemerahan; bak kata juniorku, seperti orang kemabukan arak.

Ugh. Mujur bahu yang ditunjal-tunjal. Kalau dahiku yang jadi mainan, entah mungkin tunggang terbalik gerobok di depan ni agaknya. (istighfar)

“Hait,” ringkas aku menjawab. Baca entri selengkapnya »


Kenangan Hari Lahir: Doa yang dimakbul Tuhan.

April 14, 2008

Selepas mesyuarat BWP, jam sudah menunjukkan 1 pagi. Sambil berjalan pulang, dada sentiasa terhantuk-hantuk. Kaki melangkah terketar-ketar. Bukan lembaga tak berkepala yang jadi igauan, atau Senjata Sakti bahan mainan. Tapi pada bala yang bakal kunjung tiba.

Lagak gayaku bak perisik upahan. Lima tapak ke depan, ku toleh kiri dan kanan. Aku menapak penuh cermat, jangankan semut mati terlenyek, kuman pun belum tentu hilang riwayat. Aku cukup yakin, gerakan aku tak dikesan mereka.

Aspura sunyi (baca: Asrama Putera) sambil cengkerik bersiul-siulan. Ahh.. jantung tidak keruan, walau itu yang jadi harapan. Mana mungkin jam satu malam tak semeriah siang. Satu-persatu anak tangga didaki.

Tatkala kaki mencium tangga terakhir, Baca entri selengkapnya »


Kes Sufiah : Mari baca dari pihak keluarga mereka.

April 10, 2008

Sebetulnya, tajuk yang ingin ditulis adalah “Kes Sufiah : Media (Barat) Punya Agenda Tersembunyi“. Tapi, memandangkan tajuk itu berbunyi sedikit radikal, mungkin akan membuatkan persepsi pembaca tertumpu kepada artikel ilmiah. (biasalah, segolongan kita agak alergi dengan perkataan “ilmiah” itu.)

Entri aku kali ini sama sekali bukan untuk mengupaskan isu berkenaan kes Sufiah. Jadinya, tak perlu menuding jari kepada sesiapa. Tak perlu mencari gajah di seberang sungai sana. Kita sudah mendengar segalanya dari pihak media kita, (itupun dicelup/diterjemah dari media barat) dan segala macam wahana.

Apa yang ingin aku utarakan, adalah budaya kita yang lebih cenderung menyerap segala isu dengan mentah.

Aku masih teringat, tatkala aku membelek bingkisan Harakah seusia dua belas, aku dimarah guru. (baca: aku bukan penggiat politik). Guru kata aku membazir duit membeli itu. Aku dituduh tidak berjiwa politik. “Baik baca buku UPSR tu lagi bagus,” tengking guru. Katanya aku terlalu muda untuk membaca semua itu.

Sekarang, orang kita dah tak baca isu dari sebelah pihak saja. Semua jenis akhbar laku keras. Kalau dulu Utusan, B.Harian, TheStar jadi pilihan, sekarang ada lagi lakar tinta dari pihak yang satu lagi. Tiada lagi alasan kebimbangan pemikiran yang mudah diracun. Sebetulnya silap pembaca yang “buta mata”.

Kalau ada antara kalian jenis manusia yang membaca dari satu sumber, bolehkah aku klasifikasikan anda seorang prejudis? Prejudis bermakna tidak adil. Tidak prejudis, simbolnya adalah Yang Tuan Arif. Sedang Tuan Arif perlu mendengar hujah pendakwa dan peguambela, begitu juga dengan diri anda.

Oh, sudah jauh aku melalut. Baiklah, mari kita membaca tulisan dari ahli keluarga Sufiah pula.

Misconception 1: All the Yusof children were taught via Farooq’s “accelerated learning methods” — a tortuous regime involving studying in the freezing cold, punishments for answering questions incorrectly, and “stretching and breathing exercises”.

Actually, Farooq wasn’t even responsible for the majority of the teaching! For most of the Yusof children’s early life, Halimahton was practically a single parent as Farooq was in prison (having been convicted of mortgage fraud) or on the run for six years — he only returned to the household when Iskander, the youngest at the time, was seven years old. By this stage, the Yusof children were already prodigies and were also anything from three to seven years ahead in most academic subjects, in spite of the fact that they spent most of their time engaged in less bookish activities (such as tennis or playing with other children).

baca lanjut di sini. Klik di sini.


Ikuti

Kirimkan setiap pos baru ke Kotak Masuk Anda.