My Mini City: Perang SEO bermula.
Mei 1, 2008Baiklah. Walaupun sibuk dengan kerja-kerja makmal, aku masih sempat menyelongkar ilmu-ilmu yang tidak pernah diajarkan di dalam kelas terutamanya di luar bidang pengajianku. Tentu sekali, bidang SEO yang menjadi kegilaan aku sejak aku mengenal dunia internet (selain grafik).
SEO, atau dikenali sebagai Search Engine Optimization adalah sebuah sistem yang dicipta oleh manusia untuk menstrukturkan penyusunan laman-laman web di dalam ruang maya. Bidang SEO sangat luas lingkup ilmunya. SEO sememangnya amat penting untuk menjuarai dalam persaingan dengan beribu-ribu laman web yang sama kategorinya di dunia maya ini.
Sebagai contoh, Kamal mempunyai sebuah laman web berkaitan ‘fishing’. Di dalam senaraian Google, terdapat 156 juta buah laman web yang mempunyai tema yang serupa. Dan sudah pasti laman web Kamal terletak dalam senarai paling belakang kerana masih terlalu baru dan perlu bersaing dengan syarikat-syarikat besar lain yang sudah lama menapak dalam dunia internet ini sejak tahun bertahun. Jadi, apakah yang perlu Kamal lakukan untuk mendapatkan pengunjung yang ramai dan semestinya berkualiti?
Semalam, aku dicabar oleh rakan seperjuanganku, Faiz, untuk bertanding siapakah yang lebih ‘kacak’ dalam kemahiran SEO. Medan pertempuran kami adalah di sini, MyMiniCity (ini adalah bandar aku). (aku rahsiakan bandar milik Faiz. Haha.. )

Beginilah rupa bandar ciptaanku sejak 5 jam dirasmikan. (populasi : 51)
Laman MyMiniCity ini bagi aku, bukanlah sebuah laman sekadar untuk suka-suka. Peserta perlu menarik trafik untuk meningkatkan populasi. Bila meningkat populasi, maka bertambahlah aktiviti dalam sesebuah bandar yang kita cipta sendiri. Kemudian pendapatan dalam bandar itu akan meningkat.
Uniknya MyMiniCity, mereka cuma akan mengambil kira satu alamat IP pengunjung sebagai satu bilangan populasi untuk satu hari. Sebanyak mana pun laman itu di’refresh‘ (tekan F5) oleh seorang pengunjung yang sama, ia masih dikira sebagai 1 populasi dalam sehari. Jadi, di sinilah cabarannya.
Usaha keras adalah terletak pada teknik. Teknik menarik trafik pengunjung memerlukan latihan dan pembacaan yang sangat luas. Sudah beratus ringgit sebenarnya aku menghabiskan wang saku semata-mata untuk menguasai ilmu ini (kerana harga ebook bernilai puluhan dolar amerika).
Tip untuk blogger:
Jika anda seorang blogger, dan anda menaip “nama-blog-anda.com” di enjin carian, sudah pastinya anda berbangga kerana berada di tempat yang pertama. Tapi, maaf jika aku katakan, itu sebenarnya satu tindakan yang bodoh kurang bijak.
Menarik trafik bukanlah dari “nama laman web” semata-mata, tapi pengisian yang menjadi tulangnya. Jadi, inilah salah satu sebab mengapa aku sering menasihati rakan-rakan blogger untuk melupakan bahasa SMS dalam mempersembahkan luahan diri. Mengapa? Cuba anda fikirkan, jika anda ingin mencari maklumat tentang “pasar malam” misalnya, adakah anda menulis “psr mlm” di Google/Yahoo/MSN? Semestinya tidak, bukan? Jadi, Fikir-fikirkanlah.
Update TERKINI:
1) Mei 1, 0310 = Aku meletakkan “backlink” di lubuk rahsia sejak 5jam selepas dilancarkan. Populasi : 51, Pendapatan : 7650, Kedudukan: tangga ke 1877. (Kemudahan pengangkutan sudah dibuka).
2) Mei 2, 1202 = Aku menanam tiga video di Youtube dan Metacafe untuk menarik trafik ke dummy URL. Ternyata gagal kerana pengaktifan bilangan penonton sekurang-kurangnya memakan masa 3 hari. Populasi : 102, Pendapatan : 9302, kedudukan: tangga ke 1023 (Kadar menganggur bertambah, jadi aku menambahkan keberatan industri.) - Faiz masih tak berganjak.
3) Mei 2, 2312 = Aku mula aplikasikan pembelajaran JAVA di dalam kelas dengan menggunakan redirect ke laman-laman proxy (anonymous IP ). Gagal. Kelemahan, pengoperasian JAVA sangat lembap. Aku mula menulis dalam skrip PHP untuk auto-refresh terhadap laman aku (disembunyikan di belakang iframe) melalui beberapa proxy terpilih. - Faiz dah mula melancarkan strateginya. Dari populasi 6 meletup ke 132 dalam masa 3 jam.
4) Mei 3, 0302 = Entah kenapa, tiba-tiba aku menggunakan Alexa Rank Booster dan ping laman aku dari beratus-ratus senarai proxy (majoriti dari Seoul dan Hong Kong). Dah kemaruk trafik agaknya aku ni. Tiada perubahan drastik dikesan. Populasi aku : 125, Populasi Faiz : 211. Faiz memotong.
5) Mei 3, 0315 = Populasi aku : 184, Populasi Faiz : 304. Aku makan asap. Aku mencari kupon pengiklanan Yahoo yang berbayar, untuk trafik dari Amerika dan Canada. Sudah mula berkira-kira untuk mengaku kalah. Hahaha..
Ditulis oleh alirfan













