Baju Melayu belum tinggal kenangan.
Dulu, sejak kecil kami enam beradik punya baju Melayu yang sama corak serupa warna. Setiap tahun, mata Ama pasti lebam dek saking pedih mata Mama menahan kantuk, sehinggakan selalu saja kocek atas bertukar dada. Kadang-kala baju Ama pasti yang terakhir disiapkan.
Masih aku ingat lagi sewaktu aku berumur empat tahun. Ketika itu pertama kali Ama mula menjahit untuk kami anak beranak. Seluar kami adik beradik punya kelengkang besar, dengan kelim tebal pada lengan baju dan hujung seluar. Hinggakan kami terpaksa menggulung seluar di pinggang kerana hujung seluar menyapu lantai.
Aku bersyukur kerana masih punya baju raya untuk bersukaria menyambut hari mulia. Tambah tunduk lebih berterima kasih kerna masih punya ayah dan ibu, yang sanggup membanting tulang untuk menggembirakan hati-hati penghuni syurga (rumahku, syurgaku).
Jadinya, aku tak pernah malu di sekolah bila kawan-kawan mengejek aku serupa “badut” berseluar besar, terutama tatkala sambutan Hari Raya di sekolah. Biarkan mereka bangga dengan limpahan cahaya yang Dia kurnia. Mereka tidak tahu setinggi mana baldi ayah menadah peluh-peluh usaha.
Yang pasti, Aku lebih menangis menatap murung wajah anak yatim piatu di pagi raya. Dengan baju mahal hasil sumbangan “bermusim” yang mereka terima, hari bersejarah itu cuma dikongsi pada tembok-tembok sepi saja. Kalian semua yang beribu bapa, jangan lupa titipkan Fatihah untuk sejahtera mereka di kedua-dua alamnya.
Bajuku yang digelar kawan sebagai pakaian “badut”, rupanya tersimpan seribu rahsia. Kata Ama, baju Melayu itu takkan mengecil sebelum tiba waktu usia menjamah dewasa. Aku masih bisa menyarung baju Melayu pertamaku di usia dua belas. Kalau baju itu tetap mengecil, setiap dari kami akan mewarisi pula pada adik-adik.
Setiap tahun dengan baju baru. Jadi, pasti kalian pusing, apa pula nasib baju Melayu sebelum itu? Sebetulnya, ia menjadi pakaian rasmi setiap hari kami di sebelah malamnya. Mengaji Al-Quran, berjemaah di masjid, “tuisyen kampung” (projek anak desa) dan apa saja kegiatan malam dengan berbaju Melayu. Oleh itu, boleh dikatakan, keabidan kami adik beradik dengan baju Melayu memang tak dapat dipisahkan.
Bila melangkah ke dunia asrama, hubungan itu semakin akrab. Aku di sebelah malam ke kelas persediaan dengan berbaju Melayu. Hatta baju Melayu jua lah sebagai pakaian tidurku. Kemudian, masuk persediaan dua tahun di UTMKL, baju Melayuku tetap menjadi pakaian rasmi di sebelah malam. Cuma kalau baju Melayuku dibasuh, baru aku menyarung kemeja-T.
Tapi, sejak awal menjejak di Jepun, aku sedikit kekok untuk menyarungnya. Mujur ada Hari Raya, jika tidak, apalah nasib baju-baju ini nantinya. Cuma sejak tiga empat hari yang lepas, aku sudah mula berjinak-jinak semula. Mulanya agak kekok bila setiap kali mata sinis mengerling pada pakaian kesayanganku ini. Namunku gagah jua. Kata mereka, aku berkain pelekat memang tak tumpah seperti jejaka menyarung skirt. Corak kocekku ini, dikatanya poket Doraemon yang mendahului zamannya. Sedikit pun hatiku tidak terluka kerana mereka bijak menyusun kata dengan bernada jenaka.
Sejak akhir-akhir ini, aku merasa sedikit kesannya. Setiap kali seorang penjawat kuasa di asrama (ingin melaporkan pengumuman penting) tatkala masuk ke kamarku, mereka lebih bersopan lagaknya. Setiap tutur kata diselangi angguk dan budi bicara tersusun jaga. Seorang Jepun junior tahun 1, Tetsuya-san, katanya, “Irfan nampak lebih tegas dan serius bila berbaju itu. Tegas dalam mempertahankan amalan tradisi di celah-celah ramai yang bertuhankan Barat.”
Semalam, aku sudah mula nampak dua tiga orang menyarung pakaian tradisional lelaki Jepun, Yukata. Nampaknya, mereka tidak mahu kalah dengan baju Melayuku ini. Hehe.. ;p
P/S: Sesungguhnya, bukan semangat bangsa dari Baju Melayu yang inginku jaja, tapi sebuah nasihat buat anak muda supaya tak lupa akan asal-usul diri dan ingat pada siapa kita berhutang kasih sayang darinya.














Mei 7, 2008 pukul 1:55 pm
erm… kalau ko pasal baju melayu.. aku kat kolej, org semua pelik aku pakai kain batik… sudah kurang anak gadis yang memakai kain batik… katanya, tak sangka mira still pakai kain batik… tapi aku selesa berkain batik pada waktu malam… lebih mudah membuat kerja rumah… sebenarnya ada simbolik pada pakaian yang kita pakai…
apa pun fan, baguslah… sekurang - kurangnya org kat sana tahu baju kebangsaan Malaysia… kira mcm promosi percuma…
cherioo…~~ huhu.. best gile dah abis exam… tp byk prgram menyusul… cuti sem aku cuma 6 hari…
Mei 7, 2008 pukul 2:21 pm
tiap tahun ayah aq akan siap sepasang baju melayu untuk kami semua
Mei 8, 2008 pukul 4:06 pm
xkan melayu hilang dijepun.hehe